VIDEO LAGU TAHUN BARU CINA
Wednesday, 8 August 2012
PERAYAAN KAUM INDIA
HARI
DEEPAVALI
Hari Deepavali
(Bahasa
Tamil: தீபாவளி) merupakan perayaan yang disambut oleh semua penganut
yang beragama Hindu di seluruh dunia dan merupakan hari cuti di Malaysia.
Perkataan
Deepavali merupakan gabungan perkataan "Dipa"yang bererti cahaya
dan perkataan "Gavali" yang bererti barisan. Perayaan Deepavali ini
disambut pada hari ke 14 bulan Aipasi dalam kalender Tamil (antara bulan
Oktober dan November) dan juga dikenali sebagai pesta cahaya.
Menurut
lagenda, Raja Naragasuri yang kejam dan selalu memeras rakyatnya, telah
dikalahkan dan dibunuh oleh Maha Krishnan. Sebelum mati, Raja Naragasuri
meminta semua manusia agar mereka merayai hari kemenangan itu sebagai peringatan
kepada yang mereka yang baik tentang godaan hantu dan syaitan, peringatan
kepada mereka yang lupa agar berbuat baik dan menjauhi daripada membuat
kejahatan sesama manusia.
Pelita yang
dipasang dalam barisan dapat dilihat dinyalakan di rumah penganut Hindu bagi
melambangkan kejayaan kebaikan mengatasi kejahatan yang dirayakan sebagai
perayaan Deepavali.
Pada pagi
Deepavali, penganut Hindu akan menjalani mandi minyak yang melambangkan
penyucian badan dan semangat. Selepas upacara penyucian yang melambangkan
permulaan yang baru, penganut Hindu akan mengunjungi kuil dimana patung dewa
Hindu akan dikalungkan dengan kalungan bunga.
Pada pintu
masuk rumah penganut Hindu hiasan "kolam", hiasan bungaan halus yang
dilakarkan di atas tanah yang biasanya diperbuat daripaja bijiran pelbagai
warna akan diletakkan. Hiasan "kolam" ini merupakan lambang
penyembahan dewa Lakshimi, Dewa Kekayaan yang dipercayai hanya akan mengunjungi
rumah mereka yang mempunyai hiasan "kolam" di pintu masuk rumah
mereka.
"Kolam" merupakaan upacara
keagamaan bagi penganut Hindu dan orang Islam adalah dilarang mengikutnya.
HARI
THAIPUSAM
Hari Thaipusam
merupakan satu perayaan yang disambut oleh masyarakat beragama Hindu di seluruh
dunia. Perayaan ini bagi menghormati dewa Hindu, iaitu Lord Murugan. Perayaan
ini disambut pada bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil yang dikenali juga
sebagai bulan 'Thai'.
Bagi penganut
yang beragama Hindu, Thaipusam adalah hari untuk menghapuskan dosa-dosa dan
bertaubat sepenuhnya akan kesalahan yang lepas.
Sebelum
menyambut Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk
tujuan membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan
makan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil. Dua puluh empat jam sebelum
menyambut Thaipusam pula, mereka akan berpuasa sepenuhnya.
Masyarakat yang
beragama Hindu di Malaysia, biasanya akan menyambut perayaan Thaipusam ini di
Batu Caves, iaitu sebuah tempat suci bagi masyarakat Hindu di sini.
Pada hari
Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam, iaitu
anak bongsu Dewa Siva, di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi.
Selain itu, antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga
akan membawa 'kavadi', iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga,
kertas berwarna-warni, dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Ini
adalah sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam.
Bagi sesetengah
penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi
kulit tubuh, lidah, pipi, dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan
dosa dan menyucikan diri. Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa
'kavadi'. Biasanya, pembawa 'kavadi' ini berada dalam keadaan terpukau sambil
mengikut rentak lagu yang dimainkan.
Di Malaysia,
pembawa 'kavadi' ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves
sehingga sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi dihadapan patung dewa.
Selain itu, penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu, dan susu untuk
dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.
Perayaan
Thaipusam di Malaysia, biasanya disambut secara meriah bagi masyarakat yang
beragama Hindu. Perayaan ini turut mendapat perhatian daripada masyarakat yang
berbangsa lain. Oleh itu, tidak hairanlah banyak pelancong yang datang dan
merakamkan suasana menarik semasa sambutan perayaan ini.
HARI
THAIPONGGOL
Thaiponggol merupakan perayaan
menuai yang diraikan mengikut kalender Hindu. Disebabkan hari perayaan Thaiponggol
ditetapkan dalam kalender Hindu, hari Thaiponggol disambut berbeza dengan
tempoh menuai yang sebenar. Pada kebiasaannya, orang-orang Tamil akan meraikan
perayaan menuai Thaiponggol pada minggu kedua bulan Januari.
Pada subuh pagi
Thaiponggol, para petani akan bangun dan memasak bijiran yang baru dituai yang
dikenali sebagai Ponggol. Masakan Ponggol ini merupakan masakan hasil tuaian
baru yang akan dipersembahkan kepada matahari pada waktu pagi.
Pesta
Thaiponggol merupakan hari bagi memuliakan Dewa Matahari yang penting kepada
semua tanaman. Upacara penyembahan juga diadakan di kuil secara besar-besaran,
dan di rumah secara kecil-kecilan.
Bagi perayaan
di rumah, seluruh keluarga akan bangun awal dan mandi dan berpakaian cantik
sebelum subuh. Semua ini dilakukan tanpa menggunakan cahaya. Apabila semua ahli
keluarga telah bersedia, mereka berkumpul mengelilingi gubahan buah dan bunga.
Hanya ketika itu lampu akan di gunakan. Gambaran kecantikan alam semulajadi
mesti merupakan gambaran pertama dilihat pada waktu pagi. Pada pagi hari,
makanan pagi dari tumbuhan sepenuhnya "vegetarian" akan dihidangkan
kepada semua ahli keluarga.
Sumber Rujukan : http://theheritagelady.yolasite.com/masyarakat-india.php
TAHUN BARU CINA
Perayaan ini disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia
yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalender mereka.
Orang Cina percaya ada 12 binatang
yang menaungi kalender mereka iaitu tikus , lembu, harimau, arnab, naga, ular,
kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi.
![]() |
![]() |
Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul untuk mengeratkan
perhubungan sesama keluarga. Pemberian ‘angpau’ juga dilakukan oleh mereka yang
sudah berumahtangga. Perayaan Chap Goh Mei diadakan sebagai penutup perayaan
Tahun Baru Cina.
Lima belas hari selepas Tahun Baru Cina
merupakan hari Chap Goh Mei disambut sebagai menandakan berakhirnya perayaan
Tahun Baru Cina.
Pesta Chap Goh Mei disambut dengan mengadakan upucara sembahyang secara
besar-besaran, di mana colok besar akan dibakar dan juga diadakan makan besar
bersama keluarga. Bunga api dibakar dan tanglung dinyalakan bagi meraikan Chap
Goh Mei.
Chap Goh Mei juga dianggap sebagai
malam mencari pasangan di mana para gadis akan berpakaian serba indah dan
mengunjungi kuil untuk berdoa agar mendapat pasangan yang secucuk.
Terdapat juga amalan melontar buah
limau ke dalam laut atau sungai dengan doa untuk mendapat pasangan. Buah limau
yang basah membawa pesanan agar mereka mendapat pasangan yang sesuai.
Persembahan kebudayaan Cina akan diadakan pada waktu malam bagi menandakan
perayaan Chap Goh Mei seperti perarakan tanglung, tarian naga atau singa, dan
mengimbang bendera besar "Chingay".
Perayaan Kuih Bulan merupakan perayaan menyambut kemenangan orang Cina
menumpaskan penjajah Mongol pada akhir Dinasti Yuan (120 Sebelum Masihi - 1341
Masihi).
Perayaan Kuih Bulan disambut pada hari kelimabelas pada bulan kelapan pada
kalender Cina iaitu pada akhir bulan Ogos atau awal bulan September. Perayaan
Kuih Bulan disambut dengan perarakan tanglung pada malam perayaan.
Salah satu hidangan istimewa pada perayaan Kuih Bulan merupakan Kuih Bulan
itu sendiri. Kuih Bulan itu diperbuat daripada adunan manis yang berinti kacang
merah, atau adunan biji teratai, atau kuning telur masin. Menurut tradisi,
pesanan untuk memberontak telah disebarkan melalui surat yang diletakkan di
dalam Kuih Bulan yang akhirnya berjaya menjatuhkan Dinasti Mongol.
Terdapat juga tradisi yang menyatakan Kuih Bulan dibuat sebagai persembahan
kepada Dewa Dapur. Dewa Dapur yang makan Kuih Bulan tidak dapat menyampaikan
lapuran buruk kepada Maharaja Syurga disebabkan mulutnya terkunci oleh Kuih
Bulan yang manis itu.
Sunday, 5 August 2012
HARI RAYA AIDILFITRI
HARI RAYA AIDILFITRI
Pada tanggal 1 Syawal tahun Hijrah,
seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di
Malaysia, sambutan hari raya ini disebut juga sebagai Hari Raya Puasa. Hari
raya ini setelah menghabiskan kewajipan puasa pada bulan Ramadan.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini akan ditentukan harinya apabila anak
bulan Syawal (rukyah) dapat dilihat pada penghujung bulan Ramadan. Ini mengikut
hisab berdasarkan Takwim Tahun Islam. Kebiasaannya, apabila sudah ditentukan 1
Syawal itu, pada malamnya, umat Islam akan beramai-ramai bertakbir hari raya di
masjid atau pun surau.
Keesokan harinya, semua umat Islam, lelaki dan perempuan akan ke masjid
untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah. Di
negara kita, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini disambut secara meriah pada
setiap tahun.
Bermula seawal bulan Ramadan lagi, umat Islam akan membuat persiapan
tertentu untuk menyambut kedatangan hari raya ini. Antara tradisi umat Islam di
negara ini, menjelang kedatangan 1 Syawal ini, adalah dengan menyediakan
pakaian baru untuk keluarga, menghias rumah, dan membuat berbagai-bagai jenis
kuih tradisi untuk dihidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung ke
rumah.
Selain itu juga, umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah bagi setiap
anggota keluarga. Kadar nilai zakat ini ditentukan oleh harga semasa beras,
iaitu makanan asasi rakyat di negara kita.
Masyarakat Islam di Malaysia, biasanya mengambil peluang cuti pada hari
raya ini untuk pulang ke kampung dan menyambut hari raya bersama-sama keluarga
dan ibu-bapa masing-masing. Pada pagi hari raya pertama, umat Islam akan
mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada ibu bapa, suami atau
isteri dan dari yang muda kepada yang tua. Selepas itu, dalam tradisi
kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai juga, umat Islam
akan mengambil kesempatan untuk bermaaf-maafan, di samping mengeratkan
silaturrahim.
Pada hari raya Aidilfitri juga, umat Islam akan meyediakan berbagai-bagai
jenis juadah tradisional seperti lemang, ketupat, nasi himpit, dodol, dan
lain-lain lagi untuk tetamu yang datang berkunjung dan beraya di rumah mereka.
Bagi kanak-kanak pula, mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian
yang baru serta mendapat duit raya apabila beraya dengan orang dewasa. Amalan
memberi duit raya ini adalah suatu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam
di negara kita pada hari raya, iaitu untuk bersedekah dan menggembirakan anak-anak
yang masih muda.
Selain itu, pada hari raya juga, umat Islam di Malaysia mengambil
kesempatan untuk berkunjung ke pusara ahli keluarga dan saudara mara.
Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia lebih bermakna pada hari
ini dengan konsep rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.
Kerajaan juga telah mengadakan rumah terbuka peringkat kebangsaan untuk
meraikan hari raya Aidilfitri ini dengan berbagai-bagai acara dan juadah
istimewa kepada seluruh masyarakat yang hadir. Konsep rumah terbuka ini dapat
menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum
untuk bersama-sama menyambut perayaan ini dengan penuh rasa gembira dalam
suasana harmoni.
Subscribe to:
Posts (Atom)








