HARI RAYA AIDILFITRI
Pada tanggal 1 Syawal tahun Hijrah,
seluruh masyarakat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Di
Malaysia, sambutan hari raya ini disebut juga sebagai Hari Raya Puasa. Hari
raya ini setelah menghabiskan kewajipan puasa pada bulan Ramadan.
Sambutan Hari Raya Aidilfitri ini akan ditentukan harinya apabila anak
bulan Syawal (rukyah) dapat dilihat pada penghujung bulan Ramadan. Ini mengikut
hisab berdasarkan Takwim Tahun Islam. Kebiasaannya, apabila sudah ditentukan 1
Syawal itu, pada malamnya, umat Islam akan beramai-ramai bertakbir hari raya di
masjid atau pun surau.
Keesokan harinya, semua umat Islam, lelaki dan perempuan akan ke masjid
untuk menunaikan sembahyang sunat Hari Raya Aidilfitri secara berjemaah. Di
negara kita, sambutan Hari Raya Aidilfitri ini disambut secara meriah pada
setiap tahun.
Bermula seawal bulan Ramadan lagi, umat Islam akan membuat persiapan
tertentu untuk menyambut kedatangan hari raya ini. Antara tradisi umat Islam di
negara ini, menjelang kedatangan 1 Syawal ini, adalah dengan menyediakan
pakaian baru untuk keluarga, menghias rumah, dan membuat berbagai-bagai jenis
kuih tradisi untuk dihidangkan kepada para tetamu yang datang berkunjung ke
rumah.
Selain itu juga, umat Islam diwajibkan membayar zakat fitrah bagi setiap
anggota keluarga. Kadar nilai zakat ini ditentukan oleh harga semasa beras,
iaitu makanan asasi rakyat di negara kita.
Masyarakat Islam di Malaysia, biasanya mengambil peluang cuti pada hari
raya ini untuk pulang ke kampung dan menyambut hari raya bersama-sama keluarga
dan ibu-bapa masing-masing. Pada pagi hari raya pertama, umat Islam akan
mengambil kesempatan untuk memohon ampun dan maaf kepada ibu bapa, suami atau
isteri dan dari yang muda kepada yang tua. Selepas itu, dalam tradisi
kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai juga, umat Islam
akan mengambil kesempatan untuk bermaaf-maafan, di samping mengeratkan
silaturrahim.
Pada hari raya Aidilfitri juga, umat Islam akan meyediakan berbagai-bagai
jenis juadah tradisional seperti lemang, ketupat, nasi himpit, dodol, dan
lain-lain lagi untuk tetamu yang datang berkunjung dan beraya di rumah mereka.
Bagi kanak-kanak pula, mereka amat gembira kerana dapat bergaya dengan pakaian
yang baru serta mendapat duit raya apabila beraya dengan orang dewasa. Amalan
memberi duit raya ini adalah suatu tradisi yang diamalkan oleh masyarakat Islam
di negara kita pada hari raya, iaitu untuk bersedekah dan menggembirakan anak-anak
yang masih muda.
Selain itu, pada hari raya juga, umat Islam di Malaysia mengambil
kesempatan untuk berkunjung ke pusara ahli keluarga dan saudara mara.
Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri di Malaysia lebih bermakna pada hari
ini dengan konsep rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.
Kerajaan juga telah mengadakan rumah terbuka peringkat kebangsaan untuk
meraikan hari raya Aidilfitri ini dengan berbagai-bagai acara dan juadah
istimewa kepada seluruh masyarakat yang hadir. Konsep rumah terbuka ini dapat
menyatupadukan seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum
untuk bersama-sama menyambut perayaan ini dengan penuh rasa gembira dalam
suasana harmoni.

No comments:
Post a Comment